fb fb fb fb fb

Kuota pekerja asing tiga subsektor dibuka mulai 10 Oktober

PUTRAJAYA, 2 Oktober- Permohonan baharu pekerja asing dan sedia ada bagi tiga subsektor iaitu tukang gunting, pekerja tekstil dan tukang emas akan dibuka sehingga 7,500 kuota untuk dipenuhi mulai 10 Oktober ini.

Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar berkata, majikan juga perlu berdaftar dengan persatuan perdagangan India.

"Permohonan ini dibuka sehingga kuota yang ditetapkan oleh kerajaan dipenuhi bagi tiga subsektor ini, dan tiada lanjutan permohonan dibenarkan selepas kuota dipenuhi sehingga 7500 dipenuhi. Jadi kalau dalam tiga hari habis, habislah.

"Bagi pekerja asing sedia ada, permohonan pembaharuan pas lawatan kerja sementara (PLKS) boleh dibuat oleh majikan bagi pekerja bawah kategori ini juga bermula tarikh yang sama," katanya dalam satu sidang media khas di sini hari ini.

Permohonan pekerja asing bagi tiga subsektor itu dibuat bagi memenuhi permintaan majikan selepas ia dibekukan sejak tahun 2009. Berdasarkan rekod Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), kuota itu termasuk jumlah pekerja asing sedia ada yang bekerja di Malaysia iaitu sekitar 5,000 orang.

Sivakumar berkata, pengambilan pekerja dalam tiga sektor itu tertakluk kepada operasi perniagaan sedia ada dan bukan kepada yang baharu dibuka.

Bilangan pekerja asing bagi tukang emas dan pekerja tekstil (keluasan lantai 1,000 hingga melebihi 5,000 meter persegi), adalah tidak melebihi 15 peratus daripada jumlah tenaga tempatan.

Manakala bagi tukang rambut pula, kelayakan dibenarkan adalah satu pekerja tempatan, dua pekerja asing bagi setiap tiga kerusi di premis itu selain pemilik perlu pemilik hendaklah memiliki Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) yang diiktiraf oleh kerajaan.

Keperluan permohonan dan proses penggajian pekerja asing bagi ketiga-tiga subsektor itu akan dimuat naik ke laman web Kementerian Sumber Manusia serta platform media sosial kementerian.

(V. Sivakumar)

Media Baharu