fb fb fb fb fb

Jerebu: Elak lakukan aktiviti fizikal di luar rumah

KUALA LUMPUR, 2 Oktober- Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan menasihatkan orang ramai untuk mengelakkan daripada melakukan aktiviti fizikal di luar bagi mengurangkan pendedahan kepada jerebu.

Perkara itu berikutan bacaan indeks pencemaran udara (IPU) tidak sihat melibatkan 14 kawasan di seluruh negara.

"Orang ramai juga diingatkan untuk menutup tingkap bagi mengurangkan kesan jerebu masuk ke dalam rumah atau bangunan selain menggunakan penutup hidung dan mulut yang sesuai sekiranya perlu berada di luar," katanya dalam satu kenyataan.

Selain itu, orang ramai juga digalak untuk minum air masak yang mencukupi sekurang-kurangnya lapan gelas sehari bagi mengekalkan tahap hidrasi badan.

Bagaimanapun rawatan kesihatan boleh dilakukan di fasiliti kesihatan terdekat.

Orang ramai juga digesa agar tidak melakukan pembakaran terbuka dan membiarkan premis atau tanah diceroboh pihak tidak bertanggungjawab yang boleh menyebabkan pembakaran terbuka.

Muhammad Radzi berkata, pihaknya akan terus memantau penyakit berkaitan jerebu di klinik sentinel dari semasa ke semasa.

(Keadaan jerebu di Johor)

Media Baharu