MADINAH, 21 Mei - Kumpulan pertama 284 jemaah haji Malaysia musim 1444 Hijrah tiba di hotel penginapan di Saja Al Madinah di sini pada pukul 8.10 pagi waktu tempatan.
Kesemua jemaah berkenaan yang berlepas kira-kira pukul 3.00 pagi Ahad dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Prince Mohammad bin Abdulaziz di sini pada 7.00 pagi Ahad waktu tempatan.
Ketibaan rombongan jemaah yang menaiki tujuh buah bas ke hotel penginapan itu disambut Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi Datuk Wan Zaidi Wan Abdullah, Timbalan Ketua Rombongan Haji (Kebajikan) Nurrinanuwar Shamsuddin, Pengarah Operasi Madinah Ashrof Shamsuddin serta pengurusan dan petugas Tabung Haji (TH).
Wan Zaidi berkata proses ketibaan berjalan lancar dengan jemaah tidak perlu menunggu lama di lapangan terbang menerusi program praperlepasan jemaah haji atau 'Makkah Route'.
"Ia memudahkan jemaah haji Malaysia yang tiba di Madinah dan Jeddah dengan urusan pasport dilakukan sebelum berangkat ke sini," katanya kepada pemberita di sini.
(Ketibaan rombongan jemaah disambut Duta Besar Malaysia
ke Arab Saudi Datuk Wan Zaidi Wan Abdullah)
Sementara itu, wajah kegembiraan dan terharu, terpancar di wajah para jemaah haji rombongan pertama yang selamat tiba, di sini.
Rata-rata jemaah yang tiba di bangunan penginapan berpuas hati dengan perkhidmatan pihak TH.
"Alhamdullillah kali pertama saya ke Mekah..memang sangat membantu, sangat gembira, kata jemaah suami isteri, Zulkifli Ahmad dan Surmayati Enche Yusoff.
"Terasa teruja dapat jejak kaki ke Madinah, macam bermimpi, dalam ramai-ramai kita dipilih Allah SWT. Alhamdullillah sepanjang kita Madinah, Tabung Haji bagus, banyak membantu,"kata Wan Rusli Wan Mamat.