(Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar berkenan berangkat ke Majlis Perasmian KPJ Healthcare’s (KPJ), Hospital Pakar Damansara 2)
KUALA LUMPUR, 21 Mei- Sultan Johor Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar berkenan merasmikan Hospital Pakar KPJ Damansara 2 (DSH2) di sini hari ini.
Ketibaan Baginda pada jam 12.12 tengah hari disambut Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang juga Pengerusi Johor Corporation (JCorp), Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Azmi Royani, Presiden dan Ketua Eksekutif JCorp, Datuk Syed Mohamad Syed Ibrahim dan kakitangan KPJ Healthcare Berhad .
Baginda berkenan menandatangani plak sebagai simbolik perasmian hospital diikuti tayangan montaj dan bacaan doa lobi utama sambil disaksikan barisan pengurusan dan kakitangan DSH2.
(Sultan Johor, Sultan Ibrahim berkenan menandatangani plak sebagai simbolik perasmian Hospital Pakar KPJ Damansara 2)
Baginda turut melawat kompleks hospital di bawah KPJ Healthcare Bhd.
Pengerusi KPJ Healthcare Berhad (KPJ Healthcare), Datuk Md Arif Mahmood memaklumkan DSH2 adalah sebahagian daripada usaha berterusan KPJ Healthcare untuk menetapkan penanda aras dalam perkhidmatan penjagaan kesihatan, selain turut menetapkan standard baharu dalam penjagaan klinikal, tumpuan pesakit dan pelanggan.
Hospital Pakar KPJ Damansara 2 (DSH2) dibuka pada 1 September 2022 dan dibina di kawasan seluas 1.12 hektar dengan kapasiti 300 katil, 10 unit rawatan rapi (ICU) dan tujuh dewan bedah.
Hospital tersebut menggabungkan dan memanfaatkan kuasa digital dan teknologi, dilengkapi dengan kakitangan, jururawat dan perunding yang terlatih dan berpengalaman, bagi memastikan pesakit dan pelanggannya menerima tahap penjagaan dan perkhidmatan yang tiada tandingan.