fb fb fb fb fb

Kepah naik ke darat, Pantai Leman ibarat tapak pesta

(Hasil kutipan kepah)

KUALA KEDAH, 21 Mei- Pada hari kebiasaan, pesisir Pantai Leman, Kota Marina Kuala Kedah sekadar lokasi riadah seisi keluarga.

Namun, suasana bertukar pesta apabila dipenuhi orang ramai berikutan tular fenomena kepah naik ke darat sejak seminggu lalu.

Malah, situasi jarang berlaku itu ibarat rezeki terpijak buat penduduk tempatan.

Fenomena kepah naik ke darat menggamit kehadiran hampir seribu pengunjung setiap hari.

Ramai sanggup berpanas mengutip kepah bersama keluarga apabila air laut surut terutama bermula pukul 3.00 petang.

Selain menggunakan tangan, bingkai kipas turut menjadi pilihan melakukan aktiviti tersebut.


"Seminggu sudah baru hari ni saya ke mari. Mungkin fenomena air pasang besar hantar kepah naik ke pantai, alhamdulillah," kata pelajar, Mohd Asri Mohd Shahril.

Kepah berkenaan dijual RM6 sekilogram di pasaran dan sesuai dijadikan sajian pelbagai menu masakan.

"Jadi meriah semua duduk jauh pakat datang duduk cari. Hari ini ada lebih kurang 30 kilo adalah hasil hari ini. Kadang kala masak ketuk serai, kadang kala shell out, kadang kala masak lemak," kata pengunjung, Rusmuna Zulkifli.

"Petang kelmarin datang, petang ini datang banyak juga hasil, hari ni dah tidak ada selalunya hari-hari banyak orang duduk. Boleh datang awal buat gulai dengan jantung, dengan rebung," kata suri rumah, Supiah Baharom.

Suasana pesta itu juga menguntungkan peniaga hasil peningkatan jualan mereka.

"Alhamdulillah kami peniaga-peniga luar tumpang tular di Kuala Kedah ini kepah naik ke darat. Hasil jualan telah meningkat," menurut peniaga, Mohd Shafiq Osman.

Sementara itu, Pengarah Perikanan Kedah, Sukri Deris ketika dihubungi RTM berkata, pihaknya masih menyiasat punca sebenar fenomena tersebut.

Katanya Jabatan Perikanan difahamkan fenomena tersebut berlaku berikutan terdapat alunan ombak yang kuat berlaku dari arah laut ke kawasan pesisir pantai.


(Kepah naik ke darat, Pantai Leman ibarat tapak pesta)

 

Media Baharu