LANGKAWI, 21 Mei- Pertambahan air terawat sebanyak 13 juta liter padu sehari diperlukan sepanjang berlangsungnya Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA '23) yang bermula 23 hingga 27 Mei ini.
Sehubungan itu, Syarikat Air Darul Aman Sdn. Bhd. (SADA) bersedia dengan pelan kontingensi selama lapan hari bermula hari ini sebagai langkah bagi mengurangkan risiko berlakunya gangguan bekalan air di daerah tersebut.
Ia juga sebagai persediaan awal dalam menghadapinya melalui tindakan jangka masa segera dan tindakan jangka masa pendek yang telah digariskan.
SADA dalam kenyataan memaklumkan, "antara kawasan yang diberi perhatian oleh SADA adalah kawasan Pekan Kuah, Pantai Cenang, Pantai Tengah, Datai, Pemandangan Indah, Kampung Kilim, Kampung Huma dan beberapa lagi kawasan lain."
Sebelum pelaksanaan pelan kontingensi ini, SADA telah melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan berterusan secara bersepadu melibatkan aset dan infrastruktur air seperti pemantauan paras kolam, melakukan servis injap kawalan tekanan dan memastikan rumah-rumah pam berada dalam keadaan baik.
Sebanyak 16 buah lori tangki disediakan bagi mempercepatkan masa tindakan bantuan bekalan air ke kawasan yang terjejas.
Selain itu, 91 buah tangki statik telah ditempatkan di kawasan-kawasan tinggi dan di penghujung sistem agihan serta beberapa lokasi yang telah dikenal pasti sering berlaku masalah tekanan air rendah.
Jelas SADA, kerja-kerja berkenaan dilakukan bagi memastikan LRA beroperasi pada tahap optimum, menstabilkan serta meningkatkan paras kapasiti tangki, meningkatkan kapasiti air mentah untuk diproses dan melancarkan sistem agihan bekalan air.
SADA turut menangguh sebarang kerja-kerja penyelenggaraan yang boleh mengganggu pengoperasian LRA.
(Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023)