KUALA LUMPUR, 21 Oktober- Lebih 400 balang kuih raya diagihkan kepada kakitangan Jabatan Penyiaran bersempena sambutan perayaan Deepavali.
Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Suhaimi Sulaiman berkata inisiatif itu merupakan simbolik berkongsi kegembiraan sekali gus mencerminkan keharmonian masyarakat berbilang kaum.
"Hari ini kita berkongsi kegembiraan bukan sahaja dengan mereka yang meraikan Hari Deepavali. Tetapi, kita juga di dalam sebuah masyarakat yang berbilang kaum. Jadi kita bahagi kuih, ada muruku, ada kuih ros dan kita berkongsi kegembiraan dengan semua staf RTM", katanya selepas menyampaikan sumbangan kepada lebih 200 kakitangan di Angkasapuri, Kota Media.
Beliau berkata aktiviti tersebut sememangnya menjadi rutin bagi Jabatan Penyiaran, menjelang sambutan perayaan. Ia juga sebagai tanda menghargai para petugas yang hadir bekerja pada hari cuti umum tersebut.
Datuk Suhaimi turut mengambil peluang beramah mesra dengan juruhebah dan kakitangan di konti radio utama, antaranya Minnal FM, Asyik FM, Ai FM, Nasional FM dan Kl FM serta melawat ke Unit Penyuntingan Berita TV di Wisma Berita.