KUALA LUMPUR, 31 Januari - Usaha meningkatkan kualiti kehidupan warga wilayah menerusi misi ke arah 'Sifar Projek Perumahan Rakyat Termiskin' (Sifar PPRT).
Itu antara perancangan yang digerakkan Kementerian Wilayah Persekutuan sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan (SHWP) 2022.
Menterinya, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata pendekatan awal yang perlu dilaksana adalah memastikan warga wilayah memperoleh pendapatan melepasi tahap miskin tegar.
"Kita kena cari jalan supaya mereka mendapat pendapatan RM1,250 melepasi tahap PPRT itu. Jadi kita telah berbincang dengan DBKL, Putrajaya, Labuan, Ketua Setiausaha, Yayasan Wilayah Persekutuan serta Baitulmal dan JAWI, pada dasarnya mereka bersetuju. Sekarang ini saya berharap ia boleh dilaksanakan dalam bulan Februari ini sempena hari Wilayah Persekutuan," katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas ditemu bual dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia di Wisma Berita, Angkasapuri.
Dalam pada itu, Shahidan juga optimis langkah proaktif sedang dilakukan bagi meningkatkan kualiti serta kelangsungan hidup warga kota secara keseluruhan.
Paling penting memastikan mereka dapat menjalani kehidupan yang lebih terjamin, seterusnya meningkatkan tahap pendapatan dan keluar daripada kepompong kemiskinan.
"Wilayah Persekutuan tempat tumpuan mencari rezeki. Banyak daripada mereka telah berumur dan memerlukan sokongan dan bantuan. Kalau mereka dah berumur dan tak boleh kerja, jadi kita bagi bantuan. Tapi kalau mereka masih boleh bekerja, Baitulmal memberi cadangan untuk diberikan modal supaya mereka juga boleh berniaga," tambahnya.