fb fb fb fb fb

RM300,000 bantuan untuk penduduk yang terjejas akibat kejadian ribut dan puting beliung di Ipoh - MB

IPOH, 31 Januari - Kerajaan Negeri mengumumkan bantuan wang ehsan sebanyak RM300,000 kepada 219 penduduk yang terjejas akibat kejadian ribut dan puting beliung di Ipoh, Perak semalam.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamed berkata pembayaran itu akan dibuat petang ini oleh Pejabat Daerah dan Tanah Kinta.

Pada masa sama, beliau juga telah mengarahkan lantikan segera kontraktor untuk kerja-kerja baik pulih kediaman penduduk.

"Kita perlu selesaikan dengan segera, kediaman mereka yang tercabut atau pun bilangan zink yang diterbangkan angin. Dibimbangi jika ada hujan turun maka air hujan akan memberi kerosakan yang lebih teruk dalam kawasan rumah tersebut. Jadi, kita sedang cuba sedaya upaya menyelesaikan masalah ini", katanya.

Beliau berkata demikian ketika melakukan tinjauan di Kampung Seri Klebang Tambahan Jaya yang melibatkan 30 kediaman terjejas.

Selain wang ehsan daripada Kerajaan Negeri, penduduk juga akan menerima bantuan RM1,000 daripada Kerajaan Persekutuan menerusi Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

Perkara itu dinyatakan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Mastura Mohd Yazid.

"Kita menunggu senarai daripada Pejabat Daerah dan akan dihantar ke Setiausaha Kerajaan (SUK) dan SUK akan menghantar kepada NADMA dan peruntukan itu akan diberikan.

"Cepat Pejabat Daerah itu, cepatlah NADMA menyelesaikan. Bergantung kepada kecepatan dan usaha pejabat daerah dan negeri", katanya.

Dalam kejadian petang semalam, tiga lagi kawasan yang turut terjejas adalah Taman Tasek Damai, Taman Desa Sri Chepor dan Kampung Seri Klebang Tambahan Jaya.

Setakat ini, hanya satu Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka di Dewan Orang Ramai Kampung Tawas, menempatkan empat penduduk.

Media Baharu