fb fb fb fb fb

Malaysia rekod kes demam denggi terendah sejak sedekad lalu- KKM



KUALA LUMPUR, 31 Januari- Denggi kekal sebagai ancaman kesihatan awam di Malaysia ketika pandemik COVID-19, walaupun mencatatkan penurunan kes sepanjang tahun lalu, demikian menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Sebanyak 26,365 kes denggi dilaporkan sepanjang tahun 2021 dengan penurunan 70.8 peratus berbanding 90,304 tahun sebelumnya.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kematian bagi kes denggi sepanjang 2021, juga mencatatkan penurunan iaitu j20 kes berbanding 145 pada tahun sebelumnya.

Menurutnya, Kementerian Kesihatan (KKM) telah merekodkan kes denggi dan kematian terendah sejak sedekad lalu.

"Faktor utama penurunan kes denggi tersebut masih belum dapat ditentukan.

"Namun begitu denggi kekal sebagai ancaman kesihatan awam di Malaysia ketika pandemik Covid-19," katanya dalam kenyataan sempena Sambutan Hari Penyakit Tropika Terabai (NTDs) Sedunia yang disambut setiap 30 Januari," katanya.

Berdasarkan data dan trend penyakit demam denggi sebelum ini, Bahagian Kawalan Penyakit, KKM mendapati terdapat lonjakan kes demam denggi pada tahun 2010, 2015 dan 2019.

"Walaupunt terdapat penurunan, namun denggi di Malaysia dijangka akan mencatatkan peningkatan yang tinggi setiap kitaran bagi tempoh empat hingga lima tahun. Oleh yang demikian, kes demam denggi dijangka akan meningkat semula pada 2024 atau 2025, dengan insidendijangkakan yang lebih tinggi daripada jumlah kes yang dicatatkan pada
2019," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, menyedari ancaman tersebut, kerajaan telah mewartakan penyakit denggi di bawah undang-undang Malaysia sejak 1988 sebagai penyakit wajib dimaklumkan kepada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) bagi memastikan respons pantas bagi pengesanan kes dan pengurusan vektor secara bersepadu.

Menurutnya, KKM juga telah menambah baik kaedah pemakluman kepada sistem berasaskan dalam talian, iaitu e-Notifikasi dan eDengue.

"Ini adalah bagi membolehkan pengawasan dilaksanakan dengan pantas serta tindakan yang segera boleh diambil oleh petugas-petugas di PKD," katanya.

Beliau berkata, dari segi aspek pengurusan vektor, Malaysia adalah negara kedua di dunia selepas Australia yang mengendalikan kawalan denggi dengan memanfaatkan kebaikan nyamuk Wolbachia sejak 2019 berikutan penemuan positif daripada kajian tempatan.

Jelasnya, KKM telah bekerjasama dengan Universiti Glasgow dan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) untuk membiak nyamuk Wolbachia sebelum dilepaskan ke kawasan sasaran.

"Setakat ini, sebanyak 22 lokaliti di Malaysia telah dipilih untuk menggunakan pendekatan ini dan terdapat pengurangan ketara kes denggi di lokaliti tersebut," katanya.

Tambahnya, penglibatan masyarakat juga dikenal pasti sebagai elemen penting dalam membendung pembiakan nyamuk dan seterusnya penularan penyakit denggi.

Dr. Noor Hisham berkata, pelbagai sesi penglibatan masyarakat diadakan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai ancaman denggi dan memperkasakan peranan individu dalam pencegahan denggi di peringkat isi rumah.

"Bagi kawasan-kawasan berisiko tinggi, pasukan Komunikasi Untuk Perubahan Tingkah Laku (COMBI) yang terdiri daripada sukarelawan kesihatan tempatan ditubuhkan untuk menyelaraskan inisiatif pencegahan.

"Aktiviti gotong-royong mega diadakan dua kali setahun bagi menggalakkan penyertaan masyarakat dalam pengurangan punca pembiakan dan mengekalkan persekitaran bebas aedes," katanya.

Berhubung cabaran dalam menangani denggi, beliau berkata, tidak seperti kebanyakan penyakit berjangkit yang lain, tiada rawatan khusus seperti antivirus untuk penyakit denggi.

"Walaupun pada masa ini terdapat vaksin denggi di pasaran, namun Malaysia tidak memenuhi kriteria yang telah disarankan oleh WHO yang menetapkan kadar seroprevalensi denggi sekurang-kurangnya 80% pada usia sembilan (9) tahununtuk dipertimbangkan di bawah program imunisasi kebangsaan," katanya.

Selain itu, tiada alat yang benar-benar berkesan untuk melindungi masyarakat semasa waktu puncak nyamuk aedes menggigit.

Media Baharu