GEORGETOWN, 31 Januari - Tujuh lelaki tempatan ditahan bersama sebuah bot nelayan kerana didapati melakukan aktiviti menangkap ikan menggunakan pukat lohong haram.
Mereka yang berusia antara 18 hingga 34 tahun, ditahan pada kedudukan 0.2 batu Nautika Timur Laut Tanjung Bungah, tengah malam tadi.
Menurut Pengarah Maritim Pulau Pinang, Kapten Maritim Abd Razak Mohamed, mereka ditahan ketika pihaknya membuat rondaan di sekitar perairan berkenaan.
Katanya, pemeriksaan mendapati mereka menggunakan peralatan yang tidak dibenarkan oleh Jabatan Perikanan.
"Siasatan mendapati bot terbabit berpangkalan di Bakau Tua, Penaga. Kesemua yang ditahan di bawa ke Ibu Pejabat Maritim Pulau Pinang", katanya.
Kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 kerana menggunakan peralatan menangkap ikan yang tidak dilesenkan.