KUALA LUMPUR, 4 Oktober - Dua perkhidmatan tambahan dua unit tren elektrik (ETS) akan disediakan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) sempena sambutan Deepavali pada 20 Oktober ini.
Ia melibatkan laluan Padang Besar ke KL Sentral dan sebaliknya.
KTMB dalam kenyataan memaklumkan, perkhidmatan tambahan itu akan beroperasi selama enam hari bermula 17 hingga 22 Oktober.
Penjualan tiket dibuka mulai 10 pagi, Selasa ini.
“Tren tambahan ini menawarkan 630 tempat duduk sehari, menjadikan jumlah keseluruhan tempat duduk sebanyak 3,780 ditawarkan termasuk koc kelas perniagaan.
“Tambahan perkhidmatan ini bertujuan menampung permintaan yang tinggi semasa musim perayaan sekali gus membantu mengurangkan kesesakan trafik bagi mereka yang ingin pulang ke kampung halaman,” menurut kenyataan itu.
Orang ramai disaran membuat pembelian tiket menerusi aplikasi KTMB Mobile (KITS) atau laman web KTMB dan membuat pembayaran menggunakan KTM Wallet bagi mempercepat proses pembelian.
Untuk maklumat lanjut, boleh layari laman sesawang rasmi KTMB di www.ktmb.com.my atau hubungi Pusat Panggilan KTMB melalui talian 03-9779 1200.