fb fb fb fb fb

KSU, KP perlu berani tamatkan perkhidmatan kontraktor berprestasi rendah

Foto Hiasan

PUTRAJAYA, 14 November - Ketua Setiausaha (KSU) dan Ketua Pengarah (KP) perlu memantau pelaksanaan setiap projek serta berani menamatkan program dan projek tertentu atau perkhidmatan kontraktor berprestasi rendah.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata penyeliaan dan pemantauan sesuatu program atau projek perlu dilaksana dengan berintegriti dan rapi agar tindakan awal dapat dilaksanakan.

"Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menaruh kepercayaan kepada penjawat awam berbanding hanya sekadar bergantung kepada perunding luar," kata Mohd Zuki dalam ucapan pada Majlis Anugerah Pembangunan Negara (APN) 2023, di sini

Teks ucapan beliau dibacakan Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.

Mohd Zuki berkata, bagi Projek Penyelenggaraan Kecil KPM sehingga 31 Oktober lepas, sebanyak 8,109 projek atau 97.1 peratus telah memperoleh Surat Setuju terima (SST) berbanding keseluruhan 8,354 projek.

Projek berstatus siap pula adalah sebanyak 4,764 dengan 3,018 projek dalam pembinaan dan 328 projek digugurkan pelaksanaan.

Setakat 6 November lalu, Mohd Zuki berkata berdasarkan prestasi perbelanjaan Rolling Plan 3 (RP3) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), sebanyak 76.84 peratus atau RM74.53 bilion telah dibelanjakan berbanding jumlah peruntukan RM97 bilion melibatkan 8,241 program atau projek.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN