fb fb fb fb fb

Banjir: Lebih 5,000 rumah di Pahang akan dibaiki - TPM

FOTO HIASAN

TEMERLOH, 14 November- Sebanyak 5,100 rumah terjejas banjir di Pahang pada tahun 2021 dan 2022 akan dibaiki dengan peruntukan sebanyak RM75,000 bagi setiap rumah.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, KKDW memperuntukkan sebanyak RM66,000, manakala Kerajaan Negeri Pahang sebanyak RM9,000.

"Keluasan (rumah) akan ditambah daripada piawaian biasa (iaitu) 700 kaki persegi kepada 1,000 kaki persegi. Saya harap kerajaan-kerajaan (negeri) lain akan mengikuti Kerajaan Negeri Pahang ini," katanya kepada pemberita selepas melawat tapak tebatan banjir di Kampung Tanjung Kerayong, Mentakab, di sini.

KKDW turut meluluskan perolehan 14 buah bot berserta peralatan berjumlah RM259,000, selain meluluskan peruntukan bagi pembinaan lima buah rumah penduduk terjejas banjir dan projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB).

Ahmad Zahid berkata, permohonan peruntukan di bawah Program Pemajuan Kawasan (PPK) juga diluluskan bagi penempatan semula penduduk terjejas banjir di sekitar Lanchang dan Temerloh.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) pula meluluskan sebanyak RM5 juta untuk pembinaan dewan tertutup di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seberang Temerloh sebagai pusat pemindahan kekal.

SITI AISHAH BINTI MD ISA