fb fb fb fb fb

KSN sahkan KPPA ditamatkan perkhidmatan

(Tan Sri Mohd Zuki Ali /Foto fail BERNAMA)

KUALA LUMPUR, 13 Disember- Perkhidmatan Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah sebagai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) ditamatkan berkuat kuasa 12 Disember.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata keputusan itu diambil setelah melalui semua prosedur bagi Penamatan Demi Kepentingan Awam (PDKA) dan telah diteliti keteraturannya oleh Jabatan Peguam Negara.

"Penamatan ini adalah selaras dengan peraturan 49(3) Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [P.U. (A) 395/1993] dan dibersarakan mengikut subseksyen 10(5)(d) Akta Pencen 1980 [AKTA 227]
yang membolehkan beliau menikmati semua faedah persaraan yang layak baginya," menurut kenyataan yang diterima hari ini.

Mohd Zuki mewakili pihak Kerajaan turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Mohd Shafiq atas jasa dan khidmat bakti beliau kepada negara sebagai penjawat awam.

Beliau juga menyeru semua penjawat awam untuk terus memberikan komitmen dan dedikasi dalam menjalankan tugas yang diamanahkan demi negara.

(Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah/Foto fail BERNAMA)

Mohd Shafiq dilantik sebagai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) berkuat kuasa pada 10 Februari lalu, menggantikan Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman yang bersara wajib pada 16 Januari lepas.

Beliau yang berumur 58 tahun sebelum itu ialah Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan.

Mohd Shafiq telah berkhidmat dalam perkhidmatan awam selama 30 tahun dengan jawatan pertama disandangnya ialah Penolong Setiausaha di Bahagian Istiadat, Jabatan Perdana Menteri pada 1 Disember 1992.

Semalam beberapa media tempatan melaporkan Mohd Shafiq ditamatkan perkhidmatan memetik surat yang tular di media sosial.

Media Baharu