fb fb fb fb fb

KSM cadang SPKM dijadikan sijil tunggal TVET negara

(Foto fail)

PUTRAJAYA, 6 Januari- Kementerian Sumber Manusia (KSM) mencadangkan agar Sistem Persijilan Kemahiran Malaysia (SPKM) dijadikan sijil tunggal dalam Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara.

Menurut menterinya, V Sivakumar, langkah itu perlu diambil ekoran kecelaruan pelaksanaan TVET di negara ini yang berpunca daripada kewujudan pelbagai persijilan TVET.

"Adalah wajar agar sistem persijilan kemahiran Malaysia (SPKM) berasaskan standard kemahiran pekerjaan kebangsaan (NOSS) bawah kawal selia JPK ditetapkan sebagai persijilan tunggal TVET negara untuk semua program TVET tahap 1 hingga 5 dalam kerangka kelayakan Malaysia MQF.

"Penyeragaman program TVET tahap 1 hingga 5 berasaskan SPKM dalam MQF ini akan menjadi satu wadah baharu dalam memperkasakan TVET negara," kata V Sivakumar ketika berucap di Majlis Amanat Tahun Baharu 2023 Kementerian Sumber Manusia di sini.

Tambah beliau sebagai penyedia TVET, Jabatan Tenaga Manusia (JTM) perlu menilai semula kursus-kursus yang ditawarkan agar ia menepati keperluan semasa industri agar tidak wujud sindrom tidak serasi.

Kursus-kursus yang ditawarkan juga perlu ditambah baik dengan elemen-elemen digitalisasi, automasi dan lain-lain yang selaras dengan keperluan Revolusi 4.0.

Semalam, Sivakumar dalam kenyataannya memaklumkan kementeriannya kini giat menggerakkan kerja yang lebih komprehensif dalam memastikan agenda memartabatkan dan memperkasakan TVET.

Ia selaras dengan keputusan mesyuarat Jemaah Menteri pada 7 Disember lalu untuk memindahkan fungsi Sekretariat Majlis TVET Negara (MTVET) kepada KSM.


(V Sivakumar berkata KSM cadang SPKM dijadikan sijil tunggal TVET negara)

Media Baharu