fb fb fb fb fb

Kapal Peronda OPV 1 akan dipastikan siap Mac depan

KLANG, 6 Januari- Kapal Peronda Luar Pesisir pertama (OPV 1) perlu disiapkan Mac depan dan diserahkan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Ia seperti yang ditetapkan dalam komitmen asal.

Gesaan itu dibuat Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau sendiri akan mengikuti perkembangan projek tersebut secara dekat untuk memastikan pembinaan kapal itu siap dalam masa yang ditetapkan.

"Kalau di atas kertas komitmen asal serahan mesti berlaku pada Mac tahun ini. Saya telah diberi taklimat dan sudah tentu akan ada sedikit sebanyak potensi beralih untuk beberapa tempoh juga.

"Tapi saya menyebut dengan jelas pendirian kerajaan untuk tarikh serahan ini kalau boleh tidak lagi diubah atau dilanjut pada satu tempoh yang panjang atas alasan-alasan yang tidak boleh lagi kita kompromi. Saya fikir itu difahami baik oleh pasukan kerja tadi," katanya.

(Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail/Foto Bernama)

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja dan meninjau status pembinaan OPV di limbungan syarikat TH Heavy Engineering Berhad (THEE), di sini hari ini.

Tambahnya, Kementerian Dalam Negeri bersedia membantu mempermudahkan sebarang kekangan yang dihadapi bagi memastikan proses pembinaannya berjalan lancar.

Sementara itu, Saifuddin turut memaklumkan pembinaan kapal OPV 2 dijangka siap pada Oktober depan.

Rabu lalu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pemberian suntikan dana pinjaman sebanyak RM152.6 juta bagi menyiapkan pembinaan tiga OPV milik APMM.

Pinjaman bagi memastikan projek pembinaan kapal itu siap dengan peruntukan asal diberi sebanyak RM733 juta.


Media Baharu