fb fb fb fb fb

Krisis kemanusiaan di Gaza bakal beri kesan kepada dunia- Anwar

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar ketika menyampaikan syarahan di University of California/ FOTO BERNAMA

SAN FRANCISCO, 15 November - Krisis kemanusiaan akibat perang Israel-Hamas di Gaza akan memberi kesan kepada semua pihak.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa pertelingkahan yang berlaku bukan sahaja menjejaskan rakyat Palestin atau rantau Asia Barat malah kepada hubungan antarbangsa untuk satu tempoh yang panjang.

"Seperti yang saya nyatakan di Parlimen Malaysia, tidak ada kata dua dalam perkara ini. Kita mengutuk keganasan dalam semua bentuk.

"Kita mengutuk secara mutlak tindakan membunuh, mengorbankan nyawa mereka yang tidak bersalah dan menjadikan wanita serta kanak-kanak sebagai tebusan. Kita dengan tegas mengutuk pengeboman orang awam, rumah dan hospital serta kekejaman terhadap mereka yang tidak bersalah, kanak-kanak, wanita dan lelaki  yang dilakukan setiap waktu di Gaza", kata Anwar pada syarahan umum bertajuk: “Super Power Rivalry and Rising Tensions in the Asia Pacific - The View From Southeast Asia" di University of California di sini.

Justeru, Anwar berkata Malaysia secara konsisten turut menggesa gencatan senjata dan menghentikan pengeboman yang berterusan oleh Israel.

Dalam perkembangan lain, kuasa pertengahan seperti Malaysia dapat membantu mengurangkan ketegangan antara kuasa besar seperti Amerika Syarikat dan China melalui diplomasi yang kreatif.

Tambah Anwar, pendekatan Malaysia secara pragmatik dan bijaksana mampu meminimumkan risiko persaingan strategik diantara kedua-dua kuasa besar berkenaan.

"Kita akan bekerjasama dengan rakan kongsi untuk meminimumkan risiko iaitu konflik langsung atau pembahagian ekonomi golbal kepada blok tegar yang dilihat akan berlaku tidak lama lagi", katanya.

Jelas Anwar masih terdapat ruang kerjasama bagi meneruskan hubungan erat dengan Amerika Syarikat dan China khususnya melibatkan beberapa bidang seperti perubahan iklim, peralihan tenaga, pendidikan dan hubungan antara rakyat.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD