KUALA LUMPUR, 4 Februari - Kredit Komuniti dikawal di bawah Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 (Akta 400).
Akta itu memberi garis panduan kepada pemberi pinjaman dan peminjam wang.
Ia juga memberikan hak dan perlindungan kepada peminjam.
Demikian penjelasan Ketua Cawangan Siasatan Dan Pemantauan, Bahagian Kawalan Kredit Komuniti, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, ACP Mohd Fauzi Hassan.
"Kadar faedah yang dikenakan oleh ahlong mengikut selera mereka. Bagaimanapun, di bawah Kredit Komuniti, akta telah meletakkan bahawa kadar faedahnya adalah sekiranya bercagar,12 peratus setahun, manakala tidak bercagar adalah 18 peratus setahun.
"Setiap perjanjian mesti menggunakan jadual J atau K. Jadual J ini adalah yang tidak bercagar dan K ini bercagar", katanya.
Semua syarikat Kredit Komuniti di Malaysia yang berlesen perlu menggunakan borang yang ditetapkan oleh pihak pihak KPKT.
"Premis mereka ini, papan tanda iklan sendiri membezakan dengan syarikat-syarikat yang tidak berdaftar. Kita suruh meletakkan beberapa ciri-ciri khas pada papan tanda iaitu perkhidmatan kredit komuniti, warna lavender dan nombor lesen.
"Nombor permit dan juga kaedah faedahnya ditetapkan oleh undang-undang. Sebaliknya ahlong tidak ada perkara-perkara begini", jelasnya.
Beliau berkata demikian dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri.