fb fb fb fb fb

Amalkan cara hidup sihat bagi cegah kanser - Khairy



KUALA LUMPUR, 4 Februari - Tanggal 4 Februari setiap tahun, Hari Kanser Sedunia disambut bagi meningkatkan kesedaran serta mengajak orang ramai mengambil bahagian dalam usaha mencegah dan membendung penyakit yang kian meningkat itu.

Tema sambutan Hari Kanser Sedunia pada tahun ini ialah 'Close the Care Gap' atau Rapatkan Jurang Penjagaan Kanser.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, kanser merupakan satu daripada penyakit tidak berjangkit (NCD) menjadi penyebab kematian ke-dua terpenting di dunia, dengan jumlah kes dan kematian yang meningkat setiap tahun.

"Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan peningkatan 93 peratus atau 19.3juta kes baharu dikesan pada tahun 2020 berbanding 10 juta kes pada tahun 2000,"

"Jumlah kematian akibat kanser turut meningkat bagi tempoh dua dekad ini iaitu dari 7 juta kepada 10 juta, iaitu peningkatan sebanyak 42.9 peratus ," 

"Di Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan peningkatan kes kanser sebanyak 11 peratus (115,238 kes) bagi tempoh 2012-2016 berbanding 103,507 kes bagi tempoh 2007-2011,"

"Kematian akibat kanser merupakan sebab utama kematian di hospital-hospital swasta (34.95 peratus ) dan sebab kematian keempat di hospital KKM (11.56 peratus ). Kanser juga merupakan antara sepuluh sebab utama kemasukan ke hospital di kedua-dua hospital KKM (5.17 peratus ) dan hospital swasta (5.37 peratus )," kata Khairy dalam satu kenyataan.

Khairy berkata, pengesanan awal serta rawatan yang cepat dan berkesan memberi peluang yang baik kepada pesakit untuk sembuh.

Untuk makluman pengambilan tembakau merupakan faktor risiko paling penting untuk kejadian kanser dan ia menyumbang kepada 22 peratus kes kematian akibat kanser.

Anggaran kos untuk merawat penyakit kanser paru-paru akibat merokok adalah sebanyak RM132.7 juta.

"Menyedari perkara ini, KKM kini sedang meneliti pelaksanaan larangan merokok dan pemilikan sebarang produk merokok kepada generasi akan datang melalui
peruntukan berkaitan Generational End Game di dalam akta baharu iaitu Akta Kawalan Tembakau dan Merokok yang akan dibentangkan nanti,"

"Pelaksanaan ini diharap dapat mengurangkan jumlah perokok baharu dan dengan itu KKM boleh menumpukan perhatian kepada kos beban rawatan pesakit sedia ada," kata khairy lagi.

Dari aspek penjagaan dan rawatan untuk pesakit kanser di Malaysia, khairy berkata, banyak kemajuan yang telah dicapai.

KKM menyediakan perkhidmatan rawatan dan penjagaan yang terbaik serta berkualiti untuk pesakit-pesakit kanser.


Media Baharu