SERDANG, 25 Februari- Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menyasarkan 13,000 kaunselor berlesen menjelang akhir tahun ini.
Menurut Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, langkah itu diambil bagi memenuhi permintaan yang tinggi serta menampung kekurangan jumlah kaunselor sedia ada.
"Kalau dikira mencukupi, tidak, kerana itu bergantung kepada berapa ramai kaunselor yang kita ada terutama selepas kes COVID-19, permintaan sangat tinggi," katanya pada Persidangan Kaunseling Sedunia 2025 di Universiti Putra Malaysia di sini.
Sehingga kini, kira-kira 12,000 kaunselor sudah mendaftar dengan Lembaga Kaunselor.
Dalam pada itu, lanskap kaunseling digesa untuk terus berubah seiring dengan cabaran dan peluang menerusi perubahan sosial, psikologi dan teknologi
Nancy berkata, ia perlu bersifat dinamik termasuk mengadaptasi teknologi digital dalam terapi kauseling serta bersikap responsif terhadap keperluan.
"Kalau kita lihat hari ini, kaunseling bukanlah bidang baharu, tetapi permintaannya sangat tinggi. Melalui teknologi, mereka telah dikemas kini berdasarkan keperluan atau isu dalam negara.
"Jadi, bagus untuk mereka berkongsi dengan negara lain. Mungkin negara lain mempunyai isu yang berbeza, tetapi di situ mereka dapat melihat dan belajar antara satu sama lain.
"Ini juga mungkin membantu mereka meningkatkan kemahiran berdasarkan apa yang dipelajari," katanya lagi.