fb fb fb fb fb

KPWKM rancang wujud kursus penjaga kanak-kanak, warga emas

KUALA LUMPUR, 19 September- Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) merancang untuk mewujudkan kursus penjagaan khusus bagi kanak-kanak, warga emas serta golongan berkeperluan khas dijangka bermula awal tahun depan.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata, kementerian itu komited dalam memastikan rancangan tersebut dapat direalisasikan.

Perkara tersebut bagi menoktahkan dilema kekurangan individu berkemahiran untuk membantu golongan berkenaan.

Kursus itu bakal ditempatkan bawah Institut Sosial Malaysia (ISM) dan terbuka kepada mana-mana pihak berminat.

"Kita telah minta perkara ini dimasukkan dalam peruntukan bajet dan berharap latihan ini dapat dimulakan awal tahun depan. Sekarang ini, mereka yang menjaga orang memerlukan, iaitu termasuk kanak-kanak dan orang dewasa, adalah orang yang sanggup untuk mendapat gaji namun tidak mempunyai kemahiran. Jadi kita mahu mereka diberikan latihan.

"Jadi insya-Allah kita akan berusaha untuk menambah bilangan mereka yang berminat untuk menjaga kanak-kanak atau orang tua supaya tiada masalah di Malaysia. Ia berikutan agak sukar untuk mendapatkan penjaga kepada golongan tersebut," katanya dalam sidang media berkaitan Jabatan Pembangunan Kanak-Kanak (JPKK) di Parlimen.

JPKK ditubuhkan berkuat kuasa 1 September bagi menggantikan Bahagian Kanak-Kanak bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Selain itu penubuhan itu juga dapat menjamin perkhidmatan berkualiti kepada rakyat khususnya kanak-kanak.

(Datuk Seri Nancy Shukri)

Media Baharu