fb fb fb fb fb

KPDN teliti perincian gubal semula perundangan e-dagang

(Timbalan Menteri Perdagangan dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN),
Fuziah Salleh)

KUALA LUMPUR, 19 September- Kementerian Perdagangan dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sedang meneliti perincian untuk menggubal semula perundangan melibatkan e-dagang.

Timbalan Menterinya, Fuziah Salleh berharap penyedia perkhidmatan dan pemain industri e-dagang turut sama memikul tanggungjawab memastikan hak pengguna dan keselamatan data peribadi pengguna terjamin.

"Jadi penyedia platform perkhidmatan ini apa tanggungjawabnya? Bagaimana pengguna ini mendapat haknya? Hendak tebus rugi contohnya, bagaimana yang meniaga pula? Jadi undang-undang hendak mengawal ini penting.

"Tetapi sebelum kita wujudkan, kita akan melalui proses yang lama hendak menggubal undang-undang dalam proses ini, pada masa sama kita perlu mewujudkan amalan terbaik dalam kalangan penyedia platform", katanya.


(Timbalan Menteri Perdagangan dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN),
Fuziah Salleh)

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Seminar Today's Malaysia E-Commerce and Consumer Protection Regulatory Framework : The Way Forward di Kuala Lumpur.

Tambahnya, pelbagai pendekatan dilaksana dalam meningkat kesedaran tentang hak kepenggunaan kepada masyarakat terutama berkaitan transaksi dalam talian.

"Apabila mereka tahu hak mereka, lebih sukar kepada penjual untuk mengambil kesempatan. Jadi strategi ini pelbagai serampang. Kita hendak jaga industri. Pada masa yang sama, kita hendak jaga pengguna, hendak jaga persekitaran, kita hendak mengawal dan sebagainya", katanya.

Sehingga 31 Ogos 2023, aduan melibatkan transaksi dalam talian menunjukkan peningkatan iaitu sejumlah 10,377 atau 35 peratus daripada jumlah keseluruhan yang diterima KPDN.

Sementara itu, inisiatif Jualan Rahmah Beras akan dilaksanakan di setiap kawasan Parlimen di seluruh negara.

Beliau berkata melalui inisiatif itu, beras import akan dijual dengan harga diskaun istimewa serta mampu milik.

Tambahnya, harga diskaun ditawarkan itu merupakan subsidi dengan peruntukan RM150 juta di bawah program Jualan Rahmah.

Inisiatif Jualan Rahmah Beras itu juga akan mengambil pendekatan sama seperti Jualan Rahmah bergerak yang menyasarkan golongan memerlukan seperti di kawasan B40.

Media Baharu