fb fb fb fb fb

KKM sentiasa utamakan anak kelahiran Sarawak isi jawatan kosong di negeri itu

 (Zaliha Mustafa)

KUALA LUMPUR, 19 September- Kementerian Kesihatan (KKM) sentiasa memberikan keutamaan kepada anak kelahiran Sarawak untuk ditempatkan secara lantikan tetap atau kontrak di fasiliti kesihatan di negeri itu.

Menterinya, Dr Zaliha Mustafa berkata, keutamaan itu bagi memastikan kesinambungan penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada rakyat.

Sebagai contoh, beliau memaklumkan, terdapat seramai 63 pegawai perubatan lantikan tetap dan lantikan kontrak yang berkhidmat di daerah Betong, ketika ini.

"Ini melibatkan pegawai perubatan yang berkhidmat di empat buah Klinik Kesihatan, sebuah Klinik Kesihatan Ibu dan Anak, sebuah Klinik Komuniti dan Hospital Betong di daerah tersebut.

"Kadar penggunaan katil bagi Hospital Betong adalah sebanyak 50.55% sahaja dan masih boleh beroperasi dengan baik," katanya ketika menggulung perbahasan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kedua Belas (KSP RMKe-12) di Dewan Rakyat di sini.

Sementara itu, Zaliha berkata, pihaknya telah mengambil beberapa langkah untuk meningkatkan bilangan ahli fisioterapi antaranya, meningkatkan keluaran graduan Diploma Fisioterapi Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) dan melantik Jurupulih Perubatan (Fisioterapi) secara lantikan kontrak.

"(Selain itu), memohon pertambahan perjawatan kepada agensi pusat iaitu 104 jawatan Jurupulih Perubatan (Fisioterapi) pelbagai gred dan 27 jawatan Pegawai Pemulihan Perubatan (Fisioterapi), serta 136 jawatan Jurupulih Perubatan (Fisioterapi) pelbagai gred dan 30 jawatan Pegawai Pemulihan Perubatan (Fisioterapi)," katanya.

(FOTO HIASAN)

Media Baharu