NEW YORK, 19 September - Malaysia akan berkongsi Konsep MADANI ke pentas Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu ke-78 (UNGA) yang bermula Isnin.
Penampilan sulung Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka memperjelas rangka kerja berkenaan di samping berkongsi usaha Malaysia menangani krisis iklim dan mengambil tindakan ke arah mencapai Agenda 2030 selari tema UNGA pada tahun ini.
Menurut Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Perdana Menteri turut akan memberi pandangan berhubung isu-isu global dan peranan yang perlu dimainkan masyarakat antarabangsa dalam mengatasi pelbagai cabaran bersama.
"Perdana Menteri juga akan berkongsikan mengenai kerangka Malaysia MADANI...amat penting untuk kita memberitahun kepada dunia mengenainya," kata Menteri Luar Datuk Seri Dr Zamby Abd Kadir kepada wartawan Malaysia di Pejabat Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di sini.
Kenyataan Negara dijadual disampaikan Perdana Menteri pukul 10 pagi waktu tempatan Jumaat ini bersamaan pukul 10 malam waktu Malaysia.
Datuk Seri Anwar turut dijadual mengadakan pertemuan dua hala dengan beberapa kepimpinan dunia antaranya Presiden Turkiye, Reccep Tayyip Erdogan dan Perdana Menteri Thailand, Srettha Thavisin.
(Sidang media Menteri Luar Datuk Seri Dr Zamby Abd Kadir kepada wartawan Malaysia di Pejabat Wakil Tetap Malaysia di PBB/FOTO KLN)
Beliau turut akan mengadakan pertemuan dengan kepimpinan Iran, Iraq dan Sri Lanka.
Perdana Menteri juga akan menyertai Perbincangan Meja Bulat bersama syarikat-syarikat Fortune 500 dan sesi libat urus bersama Invest MalaysiaNew York.
Jumaat ini Datuk seri Anwar dijemput menyampaikan khutbah Jumaat di Islamic Cultural Centre New York.
Beliau merupakan pemimpin negara luar PERTAMA diberikan penghormatan besar ini.
Islamic Cultural Centre New York yang dibuka secara rasmi pada 25 September 1995 adalah tempat bersejarah kerana ia adalah masjid pertama dibuka di New York.
Kehadiran Datuk Seri Anwar pada esok (Rabu) akan diiringi isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa.