KUCHING, 13 Julai - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) terus komited memastikan kanak-kanak dan remaja dilindungi daripada ancaman, serta risiko penggunaan media sosial.
Menterinya, Dato' Sri Nancy Shukri berkata, pelbagai langkah intervensi diambil dari semasa ke semasa, termasuk bekerjasama dengan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNICEF) bagi menangani masalah ini, terutamanya daripada aspek perundangan.
“Kita memang usahakannya. Kita belum mempunyai undang-undang, tetapi sedang diusahakan kerana ini merupakan perkara yang perlu dilakukan untuk negara kita, seperti mana di negara lain yang telah mewujudkan undang-undang berkaitan," katanya ketika merasmikan majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2024 Pejabat Pendidikan Daerah Kuching.
Beliau diminta mengulas mengenai data terbaharu UNICEF yang melaporkan lebih 83 peratus kanak-kanak dan remaja di Malaysia terdedah kepada risiko penggunaan media sosial dan ancaman dalam talian.
Tambahnya, Majlis Sosial Negara (MSN) turut mengadakan mesyuarat dengan kementerian berkaitan untuk mendapatkan input sewajarnya.
Bagi mengelakkan perkara tidak diingini, KPWKM tidak menggalakkan kanak-kanak menjadi model iklan di televisyen atau media sosial.