TASEK GELUGOR, 13 Julai - Tiga ladang ternakan babi di Kampung Selamat, Tasek Gelugor disahkan kekal dijangkiti penyakit Demam Babi Afrika (ASF), susulan pengesanan wabak itu sejak beberapa minggu lalu.
Menurut Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Pulau Pinang (JPVPP), Dr Saira Banu Mohamed Rejab, sehingga semalam, 188 babi hidup dimusnahkan oleh JPVPP di ladang satu sebagai langkah kawalan jangkitan.
"Manakala, kira-kira 115 bangkai babi ditanam melibatkan ladang satu dan dua. Jumlah kematian akibat penyakit terbabit kira-kira 120 ekor", katanya dalam satu kenyataan.
JPVPP turut giat menjalankan persampelan bagi mengelak penularan lebih luas ke kawasan sekitar.
JPVPP telah mengeluarkan Notis Sekatan dan Larangan Pemindahan Binatang di bawah Seksyen 18, Akta Binatang 1953 (Akta 647) kepada ladang-ladang yang disahkan dijangkiti dan arahan sekatan pemindahan babi mengikut rumah sembelih yang ditetapkan, bagi mengelakkan risiko penyebaran penyakit ke kawasan atau daerah lain.