fb fb fb fb fb

Penguatkuasaan pemakaian tali pinggang keledar bas ekspres dilaksana berterusan

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke/ BERNAMA

SEREMBAN, 13 Julai - Penguatkuasaan terhadap pematuhan pemakaian tali pinggang keledar oleh pemandu dan penumpang bas ekspres dan bas persiaran akan dilaksana secara berterusan, bukan bersifat bermusim.

Menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, penguatkuasaan akan dijalankan dengan kaedah penyamaran oleh pegawai atau anggota Jabatan Pengangkutan Jalan sebagai penumpang bas.

Langkah tersebut bertujuan mengaudit sama ada pengusaha bas melaksana atau tidak tugas memberi peringatan kepada penumpang sebelum memulakan perjalanan untuk memakai tali pinggang keledar.

"Pendekatan yang kita gunakan pada peringkat ini kita banyak gunakan kaedah samaran. Sebab kita hendak tengok betul atau tidak pengusaha bas, pemandu ini patuh kepada peraturan. Apa yang kita minta adalah pemandu perlu memberi peringatan kepada penumpang sebelum mereka memulakan perjalanan", katanya. 

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan penghargaan kepada pelajar cemerlang STPM Parlimen Seremban di Seremban. 

Terdahulu, semua pemandu dan penumpang bas ekspres serta bas persiaran diwajibkan memakai tali pinggang keledar berkuat kuasa 1 Julai lalu dan peraturan itu terpakai bagi bas yang dibina selepas Januari 2020.

Manakala bagi bas yang dibina sebelum tahun 2020 akan diberi tempoh untuk membuat pemasangan tali pinggang keledar.

ROSLINA BINTI DIN