LIMBANG,13 Julai - Seorang wanita berusia 43 tahun maut selepas motosikal yang ditungganginya merempuh sebatang besi yang melintang di atas jalan dalam kejadian di Kilometer 3, Jalan Pandaruan di sini, pada pukul 9.25 pagi Ahad.
Mangsa, Faridah Adek dari Kampung Pahlawan, disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Limbang.
Ketua Polis Daerah Limbang, Superintenden Parum Niot berkata, ketika kejadian, mangsa menunggang motosikal secara berasingan bersama suaminya dari arah Kampung Pahlawan menuju ke Bandar Limbang.
“Suami mangsa berada di hadapan dan sempat mengelak besi berkenaan. Namun, mangsa yang mengekori dari belakang gagal berbuat demikian dan merempuh besi tersebut sebelum terbabas ke lorong sebelah,” kata kepada RTM.
Menurutnya, siasatan awal mendapati besi berkenaan dipercayai terjatuh akibat kemalangan melibatkan sebuah jengkaut yang sedang menjalankan kerja di tepi jalan.
Mangsa dibawa ke hospital oleh pasukan ambulans, namun disahkan meninggal dunia semasa dalam perjalanan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.