fb fb fb fb fb

KTMB lancar aplikasi KITS Style, platform pelbagai kemudahan untuk rakyat

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke melancarkan aplikasi KITS Style

KUALA LUMPUR, 13 Julai - Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) melancarkan KITS Style, sebuah aplikasi SuperApp yang disifatkan satu langkah penting ke arah pendigitalan perkhidmatan pengangkutan awam negara.

Menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, pelancaran aplikasi itu bukan sahaja satu pencapaian bersejarah bagi syarikat berkenaan, malah selari dengan aspirasi Kementerian Pengangkutan untuk memperluas transformasi digital dalam sektor pengangkutan.

“Kita ucapkan tahniah kepada KTMB kerana berjaya melaksanakan satu inisiatif yang bukan sahaja memodenkan sistem tiket, malah memperkukuh usaha pendigitalan yang sangat dialu-alukan oleh kementerian,” kata beliau dalam sidang media selepas perasmian aplikasi berkenaan.

Anthony turut menyuarakan keyakinan bahawa aplikasi SuperApp ini akan membantu KTMB meningkatkan kualiti operasi dan perkhidmatan kepada pelanggan secara berterusan.

“Dengan penggunaan aplikasi ini, KTMB boleh terus memodenkan operasi dan mempertingkat mutu perkhidmatan mereka kepada rakyat," katanya.

Beliau menjelaskan bahawa KITS Style bukan sekadar platform pembelian tiket, malah turut menawarkan pelbagai kemudahan lain termasuk tempahan tiket secara atas talian yang sebelum ini memerlukan pengguna ke kaunter atau kiosk di stesen.

Antara ciri menarik aplikasi ini ialah pembelian tiket menggunakan kad debit atau kredit secara maya, serta integrasi bersama rakan strategik seperti AirAsia, bahkan pengguna boleh membuat pembelian tiket penerbangan dan tren dalam satu aplikasi.

“Ini antara kelebihan yang dilihat pada aplikasi ini. Namun saya berharap KTMB tidak berhenti di sini sahaja. Aplikasi ini perlu terus dikembangkan, termasuk mengintegrasi dengan perkhidmatan e-hailing dan pengangkutan awam lain," kata Anthony.

Meskipun mengakui masih banyak yang boleh ditambah baik, namun beliau menganggap pelancaran aplikasi ini sebagai satu permulaan yang baik dan berpotensi untuk memberi manfaat besar kepada pengguna pengangkutan awam di negara ini.

Aplikasi KITS Style dijangka menjadi platform utama KTMB dalam memacu era digital melalui penyelesaian sehenti (one-stop solution) kepada pelanggan, sekali gus menjadikan pengalaman perjalanan lebih moden, mudah dan efisien.

MASNIZA AWANG KECHIK