fb fb fb fb fb

Malaysia gesa Myanmar patuh Konsensus Lima Perkara

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan ditemui ketika sidang media sempena penutupan Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58 (AMM) di ibu negara pada Jumaat/Foto Rasmi Facebook FM

KUALA LUMPUR, 13 Julai - Malaysia menegaskan pilihan raya di Myanmar bukan keutamaan ASEAN ketika ini, sebaliknya negara itu perlu memberi tumpuan kepada pelaksanaan Konsensus Lima Perkara sebagaimana yang dipersetujui bersama.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata demikian pada sidang media sempena penutupan Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58 (AMM) di ibu negara pada Jumaat lalu.

“Semua pihak bercakap tentang pilihan raya dan menyatakan pendirian tidak bersetuju, namun pilihan raya bukan keutamaan kita. Keutamaan ASEAN adalah Konsensus Lima Perkara,” katanya.

Dalam masa sama, beliau mengumumkan kesediaan China untuk menandatangani dan meratifikasi (mengesahkan) Protokol Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ) tanpa sebarang syarat.

Kesediaan China itu sekali gus menunjukkan komitmen terhadap perlucutan senjata nuklear secara menyeluruh.

“Kita menyambut baik kesediaan China untuk menandatangani dan meratifikasi Protokol SEANWFZ tanpa sebarang pengecualian, selain menunjukkan minat semula - beberapa kuasa senjata nuklear lain,” katanya.

Dalam sidang media sama, Mohamad turut mengulangi gesaan agar perang di Gaza segera ditamatkan, pengiktirafan terhadap Negara Palestin berdasarkan sempadan pra-1967 diberi, serta tindakan tegas terhadap Israel yang didakwa melakukan pembunuhan beramai-ramai ke atas rakyat Palestin.

Malaysia juga akan menyalurkan sumbangan tambahan sebanyak AS$1 juta (kira-kira RM4.7 juta) dalam bentuk bantuan kemanusiaan, yang akan disalurkan kepada UNRWA dan Bulan Sabit Merah Palestin.

Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58 berlangsung di Kuala Lumpur dari 9 hingga 11 Julai, melibatkan penyertaan menteri luar dari China, Jepun dan Korea Selatan menerusi Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN Plus Tiga. - VIORY

GRACE AISYAH KEDAYAN