KOTA KINABALU, 14 Julai - Sebanyak RM8.79 bilion diperuntukkan oleh Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Peralihan Tenaga Dan Transformasi Air (PETRA) bagi melaksanakan 86 projek pembangunan di Sabah setakat Jun 2025.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, peruntukan berkenaan disalurkan sehingga "Rolling Plan" Kelima (RP5) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).
Datuk Seri Fadillah menegaskaan kerajaan beri tumpuan selesai isu air dan tenaga di Sabah - Foto FB Fadillah Yusof
“Sabah boleh mendapat peruntukan yang agak besar dalam peruntukan kerajaan Malaysia. Ini adalah komitmen kita, sudah pasti dua perkara utama yang kita akan selesaikan di Sabah iaitu masalah air dan tenaga.
“Sebab sekiranya tiada tenaga dan air, maka tidak akan berlaku pertumbuhan ekonomi di Sabah. Lebih membimbangkan tidak akan memberi kepada kesejahteraan rakyat," katanya ketika berucap pada Sesi Libat Urus PETRA Bersama Media Sabah 2025 di sini malam tadi.
Beliau menegaskan Kerajaan Madani sentiasa berusaha untuk memastikan Sabah terus makmur dan kemajuan Sabah bukan hanya tanggungjawab negeri, tetapi menjadi amanah seluruh negara.
“Dengan hubungan kerajaan persekutuan dan negeri yang kukuh, kita dapat membina sebuah negeri dan negara yang lebih makmur, adil dan lestari dengan sokongan media yang bebas dan berintegriti serta dengan sokongan rakyat yang bersatu hati,” katanya.
Datuk Seri Fadillah bergambar bersama warga media Sabah - Foto FB Fadillah Yusof
Sementara itu, beliau berkata diperingkat antarabangsa kedudukan Malaysia melonjak naik ke-88 dalam Indeks Kebebasan Media Dunia 2025 berbanding tahun sebelumnya, iaitu ke-107.
Ia sekaligus, pengiktirafan kepada komitmen berterusan kerajaan dalam memperkukuh ekosistem media yang bebas, bertanggungjawab dan progresif.
Justeru beliau berharap warga media dapat terus memastikan profesionalisme dan etika kewartawanan kekal dipelihara.