fb fb fb fb fb

Raja Zarith Sofiah rai kejayaan anakanda di GT World Challenge Asia

Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah meraikan kejayaan anakanda baginda, Tunku Abdul Rahman selepas perlumbaan GT World Challenge Asia/Foto Facebook Sultan Ibrahim

KUALA LUMPUR, 13 Julai - Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan meraikan kejayaan kepada dua anakanda baginda yang beraksi dalam perlumbaan kedua siri GT World Challenge Asia di Litar Fuji Speedway, hari ini.

Kedua-dua anakanda baginda beraksi cemerlang dalam perlumbaan tersebut, dengan Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman Sultan Ibrahim, meraih kemenangan bergaya apabila muncul juara, menewaskan Ben Green yang memandu jentera Chevrolet Corvette Z06 GT3.R #99.

Bagaimanapu, anakanda baginda Tunku Puteri Johor, Tunku Abu Bakar Sultan Ibrahim (jentera #66) bersama Jordan Love terpaksa akur apabila kehilangan tempat ketiga di selekoh terakhir selepas dilanggar oleh pelumba lain dan tidak dapat menghabiskan perlumbaan.

Seri Paduka Baginda tetap memberi sokongan dan mendoakan agar kedua duanya mencapai kejayaan serta bersaing dengan selamat.

“Begitulah adat pertandingan, menang kalah, manis dan pahit sebegini pasti dirasai setiap olahragawan. Sebagai ibu, saya tetap akan memberi sokongan dan mendoakan semoga anak-anak saya mencapai kejayaan serta bersaing dengan selamat, In Shaa Allah," titah Permaisuri menerusi hantaran di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

 

Raja Zarith Sofiah tetap memberi sokongan kepada anakanda baginda Tunku Abu Bakar Sultan Ibrahim di Litar Fuji Speedway hari ini/Foto Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

Raja Zarith turut bertitah kepada semua atlet negara, tanpa mengira bidang sukan agar terus bersemangat dan memberikan yang terbaik dalam usaha bersaing mengharumkan nama negara .

"Semuanya kita serah kepada Allah SWT dan kita jangan lupa bahawa semua yang berlaku, rezeki atau sebaliknya, adalah kurniaan Allah SWT,” titah Seri Paduka Baginda.

Terdahulu, Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat ke Litar Fuji Speedway di Jepun bagi menyaksikan perlumbaan siri GT World Challenge Asia yang bermula semalam.

GRACE AISYAH KEDAYAN