fb fb fb fb fb

KPTD terima 40 buah motosikal jenis BMW, tingkat keupayaan mobiliti TDM

KUALA LUMPUR, 22 Disember - Sebanyak 40 buah motosikal jenis BMW R1250RT diterima Kor Polis Tentera Diraja (KPTD) bagi meningkatkan keupayaan mobiliti anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) dalam melaksanakan tugas harian.

Menurut Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain, perkhidmatan Motosikal Polis Tentera telah digunakan sejak awal penubuhan KPTD.

Malah cetusan idea dan rancangan untuk perolehan Motosikal Penguatkuasa melalui perkhidmatan sewaan ini adalah diinspirasikan dari Tonggak Pertama Perintah Ulung PTD Ke-28 iaitu "Kelangsungan Misi dan Kesiagaan" dengan memberi penekanan kepada meningkatkan keupayaan mobiliti dan logistik berpandukan penjajaran aset sedia ada.

"Tentera darat telah meluluskan perolehan 40 buah motosikal penguat kuasa secara sewaan daripada syarikat Ammo Defence Sdn Bhd untuk tempoh selama lima tahun."

"Saya melihat perolehan motosikal penguat kuasa ini adalah bertepatan dengan keperluan semasa tentera darat."

"Saya yakin, dengan amalan tadbir urus yang mampan, perolehan aset ini mampu membentuk KPTD sebagai sebuah organisasi penguat kuasa yang sentiasa relevan, unggul, disegani dan dihormati," kata Zamrose kepada pemberita pada Majlis Perasmian Penyerahan 40 buah Motosikal Penguatkuasa Kor Polis Tentera Diraja (KPTD) di ibu negara.


(Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain berkata demikian
dalam sidang media selepas majlis perasmian tersebut)

Tambah beliau, kegunaan motosikal ini adalah sebagai kenderaan rondaan keselamatan dan tugas pengiring bagi orang kenamaan, konvoi kenderaan tentera serta konvoi membawa peluru dan bahan letupan.

Di samping itu, perkhidmatan Motosikal Polis Tentera ini juga turut digunakan untuk menghantar utusan atau surat berdarjah apabila keadaan memerlukan.

Dalam majlis berkenaan, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain telah menyerahkan replika kunci sebagai simbolik rasmi motosikal penguatkuasaan KPTD kepada Pengerusi KPTD, Brigedier Jeneral Abdul Wahab Geoh di Wisma Perwira Tentera Darat.

Media Baharu