fb fb fb fb fb

KPT tubuh Jawatankuasa Tindakan Sara Hidup Siswa Keluarga Malaysia

PUTRAJAYA, 14 Julai- Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menubuhkan Jawatankuasa Tindakan Sara Hidup Siswa Keluarga Malaysia bagi memantapkan tadbir urus serta kecekapan penyaluran bantuan kebajikan kepada siswa di Institusi Pendidikan Tinggi (IPT).

Menterinya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad dalam satu kenyataan berkata, Jawatankuasa itu akan dipengerusikan beliau sendiri, manakala Jawatankuasa Pelaksana di peringkat institusi dipengerusikan oleh Naib Canselor, Rektor atau Pengarah.

Jelasnya, beberapa keputusan telah dipersetujui dalam mesyuarat pertama pada selasa lalu, antaranya pengecualian bayaran sewaan enam bulan kepada pengusaha kafeteria dan penyedia perkhidmatan makanan di kampus IPT awam, inisiatif bakul makanan Siswa Keluarga Malaysia bernilai RM3.50 dan pemerkasaan inisiatif Food Bank Siswa.

"Inisiatif Bakul Makanan Siswa hendaklah bersesuaian dan mengambil kira kepelbagaian komposisi kaum di IPT.

"Bagi memantau kenaikan harga dan kos barangan dan perkhidmatan yang melibatkan sara hidup siswa di IPT, Pasukan Pemantau KPT Kos Sara Hidup Siswa (KPTPantau) akan melaksanakan pemantauan secara berterusan," katanya.

"Inisiatif Food Bank Siswa akan diperkasakan menerusi penubuhan Hab Food Bank Siswa yang berperanan sebagai pusat pengumpulan dan pengagihan barang keperluan siswa. Enam hab akan ditubuhkan mengikut zon, iaitu zon utara, zon tengah, zon timur, zon selatan, Zon Sabah dan Zon Sarawak.

"Sebagai projek rintis, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bersetuju untuk beroperasi sebagai hab bagi zon tengah," katanya.


(Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Noraini Ahmad)

Selain itu, jawatankuasa juga bersetuju untuk menyelaras kadar upah Program Job on Campus di peringkat IPT, membangunkan pelan tindakan sara hidup siswa, pemberian rebat atau pengecualian cukai serta menambah kekerapan pergerakan pengangkutan di dalam dan luar kampus."

"Penyelarasan kadar upah bagi program Job on Campus (JoC) akan diselaraskan mengikut Perintah Gaji Minimum 2022.

"Pihak IPT turut disaran untuk meningkatkan jumlah penempatan JoC supaya lebih ramai pelajar, khususnya golongan berkeperluan dibantu dan memperoleh manfaat menerusi program tersebut.

"Pembangunan Pelan Tindakan Sara Hidup Siswa. Sebuah pelan yang holistik akan dibangunkan sebagai panduan kepada IPT dalam usaha memperkasakan kebajikan siswa.Selain daripada aspek kos makanan, pelan ini turut mengambil kira konteks sara hidup siswa yang lebih luas.

"Ini termasuklah aspek keperluan pengajaran dan pembelajaran seperti pelan data dan peranti, penginapan, pengangkutan dan yuran," katanya.

Katanya, KPT akan mengadakan perbincangan lanjut bersama Kementerian Kewangan bagi membincangkan kebolehlaksanaan pemberian rebat atau pengecualian cukai kepada penyumbang yang menyalurkan tajaan dalam pelbagai bentuk.

Antaranya, termasuklah bantuan tunai, barangan atau perkhidmatan berkaitan keperluan siswa. Ia bagi menggalakkan kolaborasi bersama pihak korporat, industri dan juga orang perseorangan menyumbang keperluan siswa.

"Menjadi harapan saya agar semoga semua inisiatif yang berpaksikan hasrat memperkasakan kebajikan pelajar di IPT ini akan mendapat sokongan serta kerjasama penuh semua untuk menjayakannya," katanya.

Media Baharu