PUTRAJAYA, 12 Julai- Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi KPPK yakin, hubungan dua hala Malaysia-Turkiye akan terus berkembang, terutama dalam sektor perdagangan dan eksport komoditi negara seperti minyak sawit.
Menterinya, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, lawatan terbaru Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ke negara berkenaan turut membina jaringan hubungan lebih erat antara komuniti perniagaan kedua-dua negara seterusnya meningkatkan keyakinan Turkiye terhadap kualiti minyak sawit negara.
Menerusi satu kenyataan jelasnya, beberapa pemeteraian perjanjian persefahaman yang disaksikan pemimpin kedua-dua negara, secara langsung turut menyokong usaha Kementerian meningkatkan eksport komoditi negara.
Ia bertepatan misi perdagangan KPPK ke negara tersebut Mac lalu, bertujuan mempergiatkan aktiviti hiliran industri minyak sawit Malaysia.
Turkiye juga kekal sebagai pasaran penting bagi komoditi keluaran negara.
Tahun lalu, perdagangan produk komoditi pertanian kedua-dua negara mencecah RM6.02 bilion dengan nilai eksport RM5.99 bilion.
Eksport produk pertanian komoditi Malaysia ke Turkiye meningkat 49.5 peratus daripada RM4.01 bilion pada 2020.
Sementara itu, empat produk komoditi utama dieksport ke Turkiye adalah produk berasaskan minyak sawit, diikuti getah, koko dan kayu balak.
(Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin)