KUALA KANGSAR, 12 Julai- Semua anggota Polis DiRaja Malaysia (PDRM) kontinjen Perak diberi amaran untuk tidak terlibat dengan kegiatan melindungi aktiviti haram khususnya penyeludupan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dari sempadan negeri.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalatrash Wahid berkata, meskipun tiada laporan diterima membabitkan kontinjen negeri itu namun peringatan harus diberikan.
Jelas beliau, kegiatan terbabit dikatakan berlaku di beberapa negeri lain dan tindakan tegas telah dikenakan.
"Saya beritahu kepada kontinjen dan anggota di Perak ni supaya mereka jangan terlibat melindungi aktiviti haram ni.
"Aktiviti membawa masuk PATI ke negara kita ni, kalau ada dikalangan mereka terlibat kita akan tidak teragak-agak untuk ambil tindakan mereka yang terlibat dengan melindungi dan menjadi tali barut kepada kumpulan menyeludup imigran dari negara luar,"kata Mior.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja ke ibu pejabat polis daerah Kuala Kangsar.
(Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalatrash Wahid ketika membuat lawatan kerja ke ibu pejabat polis daerah Kuala Kangsar)