ALOR SETAR, 11 Jun - Faktor ketidakhadiran pelajar untuk menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sedang diteliti Kementerian Pendidikan (KPM).
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata penelitian itu perlu dilakukan bagi membolehkan kementerian membuat intervensi yang sewajarnya untuk memastikan kehadiran pelajar lebih baik pada tahun-tahun akan datang.
"Saya fikir ada banyak faktor dan ia pastilah faktor yang mendesak sehingga mereka tidak boleh hadir untuk mengambil peperiksaan.
"Bagi menentukan perkara itu membimbangkan atau tidak, ia bergantung kepada apa yang dapat selepas kita teliti nanti...sebab calon kita ini pelbagai ada calon bukan sahaja bawah sekolah KPM, ada juga calon persendirian dan sebagainya jadi perlu pecahan yang lebih teliti," katanya selepas melawat Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMKJ) Keat Hwa, di sini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan sebuah akhbar tempatan hari ini yang menyatakan sejumlah 14,858 atau 3.8 peratus daripada 388,832 calon baharu SPM 2022 dan mendaftar kali pertama sekurang-kurangnya enam mata pelajaran, tidak hadir menduduki peperiksaan berkenaan.
Berdasarkan analisis KPM, calon yang tidak hadir peperiksaan tahun lepas bertambah berbanding calon SPM 2021 yang merekodkan 10.681 atau 2.7 peratus calon tidak hadir daripada keseluruhan 392,837 calon yang berdaftar.