KOTA KINABALU, 14 November – Tindakan tegas akan diambil terhadap pihak yang didapati menyembunyikan kes buli, terutamanya yang melibatkan pelajar sekolah.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata tindakan tersebut termasuklah terhadap pimpinan pentadbir sekolah seperti pengetua, guru besar, dan guru-guru yang berkenaan.
"Saya sudah beri peringatan berulang kali kerana garis panduan ini telah pun disebarkan kepada semua sekolah, khususnya di peringkat JPN Sabah. Oleh itu, saya tidak mahu mana-mana sekolah, baik pengetua, guru besar, mahupun guru-guru, menyembunyikan kes ini.
"Saya yakin apabila kita mengambil pendekatan menyelesaikan kes ini mengikut garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) sedia ada, kita akan dapat menanganinya dengan lebih berkesan, terutama dengan penglibatan semua pihak termasuk ibu bapa, komuniti, dan muafakat bersama," tegas Fadhlina.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada program Majlis Gerakan Kepimpinan Madani: Hentikan Buli di Sekolah Menengah (SM) Lok Yuk, di sini.