IPOH, 14 November - Seorang lelaki yang bekerja sebagai operator mesin korek (driller) maut dihempap batu yang jatuh dari cerun di sebuah tapak kuari bertempat di Manjung, Perak, semalam.
Pejabat Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Perak dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan lelaki warga tempatan berusia 35 tahun itu meninggal dunia di lokasi kejadian dalam insiden pada 4.45 petang.
Mangsa disahkan maut di tempat kejadian oleh pegawai perubatan.
"Hasil siasatan awal mendapati mangsa bekerja sebagai operator mesin korek jenis crawler. Semasa kejadian, mangsa sedang mengendalikan mesin korek manakala rakan sekerja mangsa mengendalikan jengkaut.
"Mangsa telah dihempap batu kuari yang jatuh dari cerun bersebelahan tempat mangsa bekerja," kata kenyataan itu.
Kenyataan itu menambah, notis pemberhentian serta merta ke atas kerja-kerja di kawasan kejadian di kuari berkenaan telah dikeluarkan sehingga siasatan selesai dijalankan.
JKKP Perak akan mengambil tindakan perundangan ke atas pihak yang bertanggungjawab sekiranya terdapat pelanggaran di bawah peruntukan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.