fb fb fb fb fb

KPM sasar skor 80 bagi Indeks Kesejahteraan Guru, perkukuh kesejahteraan warga pendidik

Foto BERNAMA

KUCHING, 16 Mei - Kementerian Pendidikan (KPM) menyasarkan skor melebihi 80, bagi Indeks Kesejahteraan Guru pada masa akan datang sebagai usaha memperkukuh kesejahteraan warga pendidik di seluruh negara.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, untuk kali pertama pelaksanaannya, skor komposit indeks bagi tahun ini mencatatkan 77.65 mata, iaitu berada pada tahap baik, namun masih terdapat ruang untuk penambahbaikan.

“Kita mahu pertingkat dan tambah baik sehingga skor dan kesejahteraan guru-guru kita benar-benar berada di tahap yang sangat-sangat baik,” katanya pada Majlis Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan ke-54 di Kuching hari ini.

Tambahnya, usaha ini penting bagi memastikan semua guru berkhidmat dalam persekitaran kerja lebih kondusif dan sejahtera.

Dalam pada itu, Fadhlina menyeru semua Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), pegawai pendidikan daerah, pengetua dan guru besar agar bertindak secara proaktif meningkatkan kesejahteraan guru di sekolah masing-masing.

Ujarnya, guru yang berada dalam keadaan sejahtera akan lebih beriltizam dan bersungguh-sungguh dalam menjayakan agenda reformasi pendidikan negara.

SITI NUR DIATIE BINTI ZAIDI