fb fb fb fb fb

KPM peruntuk RM100,000 baik pulih SMK Munshi Abdullah

SMK Munshi Abdullah terjejas akibat ribut pada Sabtu lalu.

BATU BERENDAM, 30 Oktober- Sebanyak RM100,000 disalur Kementerian Pendidikan (KPM) bagi kerja-kerja pembaikan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Munshi Abdullah di Melaka yang terjejas akibat ribut pada Sabtu lalu.

Exco Pendidikan dan Pengajian Tinggi Negeri Melaka, Datuk Rahmad Mariman berkata kerja-kerja pembaikan itu mula dilaksana hari ini.

"Pelajar Tingkatan 1 hingga 4 akan menjalani sesi pembelajaran secara bergilir di kelas serta Pengajaran Dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR) untuk memberi laluan kepada kerja-kerja pembaikan itu.

"Pelajar Tingkatan 5 dan 6 akan menjalankan sesi pembelajaran seperti biasa di kelas.

"Sukarelawan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) juga akan membantu kerja-kerja pembersihan," kata Rahmad menerusi kenyataan.

Terdahulu, tujuh blok bangunan kelas dan pentadbiran di sekolah itu rosak akibat ribut tersebut, dengan satu blok yang menempatkan lapan kelas untuk peperiksaan percubaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang bermula hari ini mengalami kerosakan lebih 80 peratus.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM