fb fb fb fb fb

Kolaboratif sulung UM, pelajar Victoria Institution dalam pengurusan sisa

Penyelidik UM dan pelajar Victoria Institution dalam Program inovatif 'Asimilasi Pengurusan Sisa yang Betul, Habit Kitar Semula, dan Kitar Tinggi'

KUALA LUMPUR, 30 Oktober- Program inovatif 'Asimilasi Pengurusan Sisa yang Betul, Habit Kitar Semula, dan Kitar Tinggi dalam Kalangan Komuniti Sekolah Menengah' julung kali diadakan bersama-sama penyelidik Universiti Malaya (UM) berkolaborasi dengan Pusat Jalinan Masyarakat UM (UMCares) dan DIALOG ESECO Sdn. Bhd serta Victoria Institution.

Perkara itu bagi memperkukuh kesedaran alam sekitar dan pengurusan sisa dengan betul khususnya dalam kalangan pelajar beberapa buah sekolah sekitar Lembah Klang.

Menurut Ketua Penyelidik program itu Dr. Asbah Razali, pendedahan itu akan memberi kesedaran awal kepada pengurangan penggunaan plastik selain membantu negara mencapai tahap 40 peratus pengitaran semula menjelang tahun 2025, dan mencapai status negara neutral karbon pada tahun 2050.

"Kami percaya bahawa membudayakan kesedaran ini dalam kalangan generasi muda adalah kunci untuk masa depan yang lebih lestari," katanya.

Program itu turut menerima penyertaan seramai 130 orang pelajar dari Victoria Institution termasuk pelajar Tingkatan 1 hingga Tingkatan 4.

Pelajar institusi itu berjaya mengumpulkan sebanyak 326 kilogram bahan buangan kitar semula, dan jumlah tersebut bersamaan dengan pengurangan penghasilan karbon dioksida sebanyak 960.9 kilogram.

Pengarah Eksekutif DIALOG ESECO Sdn. Bhd. Dr. S. Sri Umeswara turut berkongsi pandangan positif berkenaan program tersebut.

"Kami melihat program ini sebagai satu langkah penting dalam memupuk kesedaran generasi muda tentang masalah pencemaran dan keperluan untuk mengamalkan pengurusan sisa yang betul." katanya.

Kerjasama itu diharapkan memberi kesan positif dalam usaha menerapkan nilai-nilai murni dalam kalangan pelajar terhadap alam sekitar.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI