PUTRAJAYA, 11 September -Kementerian Pendidikan (KPM) menafikan wujud amalan pihak sekolah menyembunyikan kes buli bagi melindungi kedudukan mereka dalam sistem ranking.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menegaskan perkara itu susulan ada pihak yang mendakwa terdapat sekolah yang menyembunyikan kes buli bagi mengelakkan nama baik dan kedudukan mereka terjejas.
"Tidak wujud sistem ranking yang menentukan kedudukan sekolah sehingga ada alasan untuk menyembunyikan kes buli. Malah, kes-kes sebegini wajib dilaporkan mengikut peraturan sedia ada," katanya dalam sidang media selepas menghadiri Sesi Townhall Tribunal Antibuli, di sini.
Beliau juga berkata, setiap kejadian buli di sekolah mesti dilaporkan tanpa kompromi dan tidak boleh disembunyikan, selain perlu disiasat secara telus mengikut garis panduan sedia ada bawah bidang kuasa kementeriannya.
Katanya, semua sekolah mempunyai tanggungjawab besar dalam menangani buli kerana ia bukan setakat sebagai satu segmen undang-undang atau peraturan tetapi merupakan tanggungjawab moral.
“Kita tak kompromi soal yang ada kemungkinan-kemungkinan untuk disembunyikan (sweep under the carpet) dan saya sudah memberikan penegasan berulang kali bahawa isu buli ini mesti dilaporkan mengikut peraturan kita sebelum kita pergi sampai ke peringkat tribunal. Mesti ada tanggungjawab oleh pentadbir dan guru untuk melaporkan dan juga mengambil tanggungjawab penuh apabila kejadian buli berlaku di dalam sekolah,” katanya.
Beliau menambah, semua sekolah memikul tanggungjawab besar bukan sahaja dari sudut undang-undang dan peraturan, malah merupakan kewajipan moral yang berasaskan adab, akhlak dan integriti pendidikan.
"Pentadbir dan guru mesti memikul tanggungjawab penuh apabila insiden buli berlaku di sekolah. Semua kes perlu disiasat dengan telus dan KPM tidak akan berkompromi jika terdapat usaha menutup kes," tegasnya.
Dalam pada itu, Fadhlina turut memaklumkan KPM telah menambah baik portal aduan sedia ada bagi membolehkan murid membuat laporan tanpa mendedahkan identiti mereka sekiranya bimbang tentang keselamatan.
Katanya, langkah itu merupakan sebahagian daripada usaha Kerajaan MADANI bagi memastikan isu buli ditangani secara menyeluruh dengan keutamaan diberikan kepada keselamatan dan kebajikan murid.