LIMBANG, 11 September – Kerajaan MADANI mengecam sebarang tindakan kekerasan yang boleh mencetuskan perpecahan dalam kalangan rakyat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bantahan dibenarkan selagi dilakukan secara berhemah tanpa menimbulkan kekecohan atau keganasan.
“Boleh bantah, boleh tidak setuju, tetapi selagi kita pertahankan cara maruah dan amanah, kita izinkan. Namun, selagi saya ada mandat, unsur-unsur yang membawa perpecahan dan keganasan seperti yang kita lihat pagi tadi akan diambil tindakan keras dan tegas. Negara ini lebih penting daripada sikap satu dua orang yang bertindak demikian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Peluncuran Projek Sarawak Sabah Link Road (SSLR) Fasa Dua di Nanga Medamit, di sini, hari ini.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Sulizmie Affendy Sulaiman dilaporkan cedera ketika mengawal keadaan sewaktu operasi pengosongan bangunan di Kampung Sungai Baru.
Kecederaan itu berlaku selepas kekecohan tercetus akibat rempuhan sekumpulan individu yang cuba menceroboh kawasan operasi berkenaan.
