KUALA LUMPUR 11 Sept- Jabatan Peguam Negara (AGC) telah menyerahkan notis tunjuk sebab kepada aktivis Che Muna Din kerana memuat naik hantaran bersifat menghina mahkamah di laman Facebooknya, berhubung prosiding inkues Zara Qairina Mahathir.
AGC dalam satu kenyataan memaklumkan notis itu diserahkan kepada aktivis terbabit pada 10 September selaras dengan Aturan 52 Kaedah 2B Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012.
"Penghantaran notis untuk tunjuk sebab ini merupakan sebahagian prosedur yang perlu dipatuhi bagi memulakan prosiding pengkomitan kerana menghina mahkamah.
"Penelitian AGC mendapati hantaran dimuat naik Che Muna Din, antara lain mempertikaikan keterangan saksi pakar iaitu Dr Jessie Hiu, seorang Pakar Patalogi Forensik di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu, Sabah.
"Ia berpotensi mempengaruhi pandangan awam serta mengganggu perjalanan prosiding Inkues yang sedang dijalankan," demikain menurut kenyataan itu.
Selain itu, AGC juga memaklumkan pertuduhan jenayah terhadap beberapa individu lain yang telah membuat kenyataan berkaitan Zara Qairina yang berpotensi mengganggu perjalanan prosiding Inkues juga akan dikemukakan dalam masa terdekat.
"AGC memandang serius sebarang tindakan yang boleh menjejaskan proses keadilan dan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas mengikut peruntukan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang berbuat demikian.
"Sehubungan itu, AGC mengingatkan orang ramai supaya tidak memuat naik, mengulas atau menyebarkan sebarang hantaran yang boleh menimbulkan kekeliruan atau mengganggu prosiding mahkamah," menurut kenyataan terbabit.