fb fb fb fb fb

RUU Tribunal Antibuli dijangka dibentang di Parlimen hujung tahun ini

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said / Foto Bernama

PUTRAJAYA, 11 September – Kerajaan memerlukan pandangan serta maklum balas menyeluruh daripada orang ramai sebelum Rang Undang-Undang (RUU) Tribunal Antibuli dibentangkan di Parlimen.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata RUU berkenaan disasarkan untuk dibawa ke Parlimen pada hujung tahun ini selepas sesi jerayawara dan pengumpulan maklum balas awam selesai dijalankan.

Menurut beliau, program Town Hall Tribunal Antibuli seperti yang berlangsung di Putrajaya hari ini merupakan platform untuk mendapatkan pandangan pelbagai pihak sebelum kertas cadangan dimuktamadkan dan dibawa ke Jemaah Menteri.

“Objektif utama Town Hall ini adalah mendapatkan respons daripada pelbagai pihak. Selain peserta yang hadir, kita juga melancarkan portal khas bagi membolehkan orang ramai memuat naik pandangan mereka untuk dinilai,” katanya dalam sidang media selepas Sesi Dialog Awam Tribunal Antibuli, di sini, hari ini.

Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.

Azalina berkata, siri jelajah turut akan diteruskan ke beberapa negeri termasuk Selangor pada 18 September, Johor (19 September), Melaka dan Negeri Sembilan (22 September), serta Perak (25 September), selain Sabah dan Sarawak selepas itu.

Beliau menegaskan maklum balas awam amat penting bagi memastikan RUU yang bakal digubal bukan sahaja menyentuh aspek hukuman, tetapi juga merangkumi tanggungjawab, liabiliti serta keadilan untuk semua pihak.

“Kami tidak akan memberi jawapan segera kepada pandangan yang diterima kerana tujuan utama adalah untuk mengumpul dan menilai cadangan tersebut. Tiada gunanya masyarakat hanya meluahkan kemarahan tanpa memberikan kritikan atau cadangan yang konstruktif,” jelasnya.

Menurut beliau, portal dan siri jelajah ini akan ditutup pada hujung September bagi membolehkan kementeriannya membawa kertas cadangan ke Jemaah Menteri sebelum dibentangkan di Parlimen hujung tahun ini.

“Kita harap selepas Belanjawan, pada Disember ini ada ruang untuk pembentangan RUU Tribunal Antibuli di Parlimen, seterusnya diluluskan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara, supaya dapat dikuatkuasakan tahun depan. Ini menunjukkan betapa serius dan pantas kerajaan mahu bertindak,” katanya.

Tambah Azalina, lebih baik pandangan dikemukakan secara konstruktif kerana dalam masyarakat terdapat ramai pakar, guru, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta pertubuhan masyarakat sivil yang mampu menyumbangkan idea bernas.

Semua pandangan itu, katanya, akan diambil kira sebagai input penting sebelum RUU berkenaan dimuktamadkan.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN