LIMBANG, 11 September – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan hubungan erat serta kebijaksanaan kepimpinan menjadi asas penting dalam membawa kemajuan negara.
Beliau berkata, meskipun berdepan cabaran dan perbezaan pendapat, jalan penyelesaian mestilah berlandaskan kasih sayang, semangat persahabatan dan kecintaan terhadap negeri serta negara.
“Biar apapun masalah dalam kalangan kita, jalurnya mestilah dengan kasih sayang, semangat persahabatan dan semangat cintakan negeri kita, negara kita. Dengan pengalaman selama tiga tahun ini, saya mengucapkan terima kasih atas kerjasama kepada Premier Abang Jo dan seluruh pasukan atas sokongan yang diberikan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Peluncuran Projek Sarawak Sabah Link Road (SSLR) Fasa Dua di Nanga Medamit, di sini, hari ini.
Projek SSLR Fasa Dua merupakan antara projek mega yang diamanahkan Kerajaan Persekutuan kepada Kementerian Kerja Raya, melibatkan kawasan Miri, Limbang, Lawas dan Ba’kelalan.
Projek tersebut diluluskan pada tahun 2023 dengan anggaran kos keseluruhan RM7.6 bilion dan dijangka siap pada 2029.