fb fb fb fb fb

KPM lancar Portal Aduan Buli

(Radzi Jidin)

PUTRAJAYA, 13 Ogos- Kementerian Pendidikan (KPM) bakal melancarkan Portal Aduan Buli, minggu depan.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin memberitahu kemudahan itu bagi membolehkan pihak ibu bapa dan murid yang menjadi mangsa buli membuat laporan secara terus kepada kementerian.

Menerusi portal itu juga, individu yang menjadi mangsa buli boleh menyampaikan maklumat dianggap sulit tanpa perlu bimbang diketahui oleh rakan atau guru.

"Untuk membolehkan aduan ini disampaikan sama ada melalui emel, melalui pelaporan yang ada ataupun melalui panggilan telefon.

"Jadi kalau ada kecemasan berkaitan buli, mesej yang nak disampaikan secara sulit ada platform yang jelas untuk mereka sampaikan," katanya.

Beliau menyatakan demikian pada sidang media Showcase Transformasi Pendidikan, di sini hari ini.

(Radzi pada Showcase Transformasi Pendidikan yang diadakan di Putrajaya)

Dalam pada itu, Radzi berkata KPM telah mengadakan sesi libat urus dan pertemuan melibatkan lebih 20,000 individu.

Ia membabitkan ibu bapa, guru dan pemimpin masyarakat dalam proses melaksanakan transformasi pendidikan.

Katanya, sesi pertemuan itu akan diadakan berterusan terutama sepanjang bulan ini dan bulan depan.

Antaranya menerusi Hari Terbuka Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), yang akan dilaksanakan di seluruh negara dalam tempoh terdekat bagi membolehkan masyarakat hadir ke PPD untuk melihat dasar dan transformasi yang dilaksanakan KPM.

"Kerana apa yang penting supaya mesej yang ingin kita laksanakan ini betul-betul sampai dan difahami oleh semua pihak.

"Sebenarnya apa yang kita laksanakan bila kita jelaskan kepada ibu bapa dengan lebih mendalam, dalam banyak sesi libat urus, masing-masing berikan pandangan yang cukup positif dan kita dilandasan yang betul, dengan pendekatan yang kita laksanakan ini," jelasnya.

Media Baharu