fb fb fb fb fb

KPM laksana saringan minda kesan gangguan emosi murid

Fadhlina Sidek

KUALA LUMPUR, 26 November- Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melaksanakan program Saringan Minda Sihat bagi mengesan tanda awal gangguan emosi dalam kalangan murid, kata Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Saringan itu dijalankan sekali setahun untuk semua murid Tahun Lima hingga Tingkatan Enam, manakala murid yang dikenal pasti menghadapi gangguan emosi teruk akan menjalani saringan tambahan dua kali setahun.

Menurut Fadhlina, intervensi turut dilakukan melalui Modul Minda Sihat, Modul Program Intervensi Minda Sihat (PRISMA) dan Modul Kesihatan Mental Remaja.

"KPM juga menggerakkan Smart Support Team (SST-MoE) yang terdiri daripada sukarelawan Guru Bimbingan dan Kaunseling terlatih untuk menyokong emosi murid terkesan akibat krisis di sekolah," katanya menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Gopeng, Tan Kar Hing di Dewan Rakyat hari ini.

Selain itu, KPM bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyediakan garis panduan rujukan murid dengan masalah kesihatan mental dan melaksanakan program Health Promotion in Learning Institutions (HePiLI).

Mengenai saringan kesejahteraan psikologi guru, beliau berkata sebanyak 92.7 peratus guru telah memiliki profil kesejahteraan psikologi berdasarkan pemprofilan kesejahteraan guru menggunakan Inventori Kesejahteraan Psikologi (IKPsi).

Beliau berkata KPM juga sedang membangunkan Indeks Kesejahteraan Guru (IKG) untuk mengukur kesejahteraan guru melalui domain ketersediaan dan penggunaan sumber, autonomi dan kompetensi guru, keselarasan kerja dan persekitaran, kesejahteraan psikologi dan sistem sokongan.

SITI AISHAH MD ISA